Mahad gigih mempertahankan seni warisan ini sejak 50 tahun lalu dari bapanya biarpun berdepan saingan
MELIHAT kegigihan seorang warga emas menjahit songkok, timbul persoalan, apakah akan terjadi untuk tempoh 10 tahun akan datang. Siapa yang akan memastikan kesinambungan menyiapkan warisan tradisi bangsa Melayu ini, adakah akan lupus ditelan zaman?
Tidak ramai yang sanggup membabitkan diri dalam bidang pembuatan songkok, ada yang menganggapnya kerja remeh dan mendakwa tidak mempunyai masa depan berbanding bidang lain yang lebih terjamin dari segi pendapatan.
Meskipun kian dimamah usia, Mahad cukup tekun dan bersemangat bekerja, matanya tetap tajam, fokus meneliti jarum dan gerak tari mesin jahit di kedai menjahit songkok di Pusat Kegiatan Ekonomi Felda Keratong 10, Muadzam shah, Pahang.
Logiknya pada usia emas begitu, tidak ramai yang masih sanggup dan mampu menjahit dengan baik kerana kerjaya sebagai pembuat songkok memerlukan penelitian cukup halus, cermat dan berhati-hati. Namun, pekerjaan ini sering dianggap remeh bagi jenerasi muda kini.
Bagi Mahad, beliau bernasib baik kerana daya penglihatan masih baik dan menjadi satu kelebihan baginya. Malah beliau cukup bersyukur dengan nikmat itu yang membolehkannya meneruskan usahanya sehingga ke hari ini. Jika tidak, sudah pasti punca rezekinya terjejas.
Pengalaman hampir 45 tahun mengabadikan diri dalam usaha pembuatan songkok yang diwarisi turun temurun ini membuatkan Mahad cukup sedar jika tidak diteruskan tradisi ini, ia akan memberi petanda tidak baik yang boleh menjejaskan kesinambungan seni warisan Melayu.
“Bagi pembuat songkok, sabar, tekun, teliti dan paling penting jangan mudah berputus asa" adalah kuncinya. Bagi mendapatkan kemahiran ini, haruslah berguru dengan tekun dan sabar. saya sendiri ambil masa hingga 5 tahun untuk benar-benar yakin pada diri sendiri untuk hasilkan songkok untuk dijual walaupun pada masa itu 2 dari 6 adik bradis saya telahpun lebih awal menjadi pewaris seni pembuatan songkok ini.
“Kita menghasilkan sesuatu untuk dipakai, mestilah hasilnya selesa dipakai, kemas, berkualiti tinggi, menarik dan cantik dipandang. Pemakaian songkok adalah salah satu dari budaya kita orang melayu. Maka, jikabu kan kita siapa lagi yang akan mempertahankannya.
Tidak seperti pembuat sungkok yang lain yang cuma membeli pelan yang ditempah dari En. Mahad untuk dijadikan songkok, En. Mahad merupakan satu-satunya pembuat songkok yang menghasilkan songkok secara asli dari seurat benang menjadi sebiji songkok yang kini dipakai ke majlis-majlis formal.
Proses membuat songkok bermula dengan proses penghasilan pelan yang dibuat sendiri yang diwarisi turun-temurun. Pelan yang dihasilkan di bentuk dari kepingan-kepingan kertas yang disusun dan dijahit. Kepingan pelan yang dihasilkan adalah terdiri dari 2 bahagian utama iaitu :
1. Bahagian Pelan Bumbung.
2. Bahagian Pelan Dinding.
Proses membuat songkok diteruskan dengan proses memotong pelan kertas yang sudah siap disulam dengan jahitan warna asas di dalam songkok, biasanya berwarna biru. Kertas pelan itu akan dipotong dua untuk dibentuk asas tepi songkok.
Potongan siap itu akan diukur mengikut saiz ditetapkan dan kebiasaannya, ukur lilit kepala orang dewasa ialah antara 21 hingga 24 inci, manakala saiz kanak-kanak adalah bawah 21 hingga 16 inci.
Mahad akan memotong mengikut ukuran inchi pembaris dan kaedah tradisional dengan menemukan kedua-dua hujung potongan itu untuk dipadankan.
“Kadang kala memang kita ukur ikut saiz tetapi mesti ukur kedua penghujung. Ini akan membantu ketepatan, boleh nampak terus sesuai atau tidak,” katanya.
Seterusnya, potongan ukur lilit kepala itu akan dijahit kemas sebanyak dua kali di sebelah dalam bagi memastikan cengkaman kuat termasuk satu daripadanya dijahit bersama kulit kecil.
Penutup songkok pula dibuat berdasarkan keperluan. Bagi songkok biasa atau standard, saiz ketinggiannya ialah 3 1/4 inci manakala bagi songkok tinggi atau lebih popular dengan gelaran songkok Johor, ketinggiannya melebihi 4 inci.
Songkok Johor itu mempunyai ketinggian permukaan atas tidak rata dan tinggi di bahagian tepi manakala songkok standard mempunyai permukaan sama rata.
Songkok yang siap dijahit akan diratakan di bahagian jahitan menggunakan sudu kecil bagi mengelakkan permukaan tidak rata akibat kesan jahitan. Proses terakhir ialah memasang baldu serta lilitan bersulam yang ditempah dari Pulau Pinang dan Sumatera Barat, Indonesia.
Bagi Mahad, dengan 5 biji mesin yang berlainan jenis dan fungsi, beliau mampu menyiapkan 10 biji songkok sehari sendirian sekiranya menumpukan sepenuh masa. Namun, dengan adanya pekerja, hasilnya akan berlipat kali ganda. Menjelang musim perayaan dan pembukaan sekolah, tempahan yang diterima agak tinggi.
Bagaimanapun, di hati kecilnya, timbul perasaan terkilan dan kecewa melihat ‘trend’ pemakaian songkok ketika ini yang dikatakan sangat merosot.
“Dulu ramai yang memilih songkok setiap kali menjelang musim perayaan atau dipakai ke majlis rasmi, tetapi sekarang sudah berkurangan. Jika ada pun, tempahan pelajar sekolah. Sekarang orang lebih suka guna ketayap.
“Tak apalah, mungkin trend ini akan berubah tetapi kita harus berusaha pastikan tradisi ini kekal,” katanya yang pernah menjaja di kaki lima menjual songkok pada awal pembabitannya sebelum menghasilkan songkok.
Profil
Nama: Haji Mahad bin Hassan, 54.
Isteri: Hajjah Siti Eshah binti Haji Mokhri, 49.
Anak:
1) Muhammad Faisal, 22.
Kilang/Bengkel:
No 03 Pusat Kegiatan Ekonomi Felda Keratong 10,
26700 Muadzam Shah,
Pahang.
Untuk Tempahan :Tel :
- 09-4431398
- 013-9333204 ( Siti )
- 017-2152208 ( Faisal )
No comments:
Post a Comment